Friday, September 13, 2013

Penciptaan Manusia dan Tugasnya di Bumi



Teori evolusi manusia yang diperkenalkan oleh Darwin merupakan suatu penipuan yang besar dalam dunia keilmuan bahkan merupakan suatu penghinaan terhadap penciptaan manusia. Teori ini ternyata tidak pernah menemukan bukti yang kukuh dan ‘valid’ sehingga penggunaannya telah terhapus dan semakin berkubur.
Manusia mempunyai kelebihan akal untuk melakukan kajian dan membuat analisa terhadap jirim yang wujud di alam semesta. Namun seringkali kelebihan akal disalahgunakan dengan penipuan untuk kepentingan tertentu. Pemikiran sebegini disandarkan kepada material dan logika semata tanpa melihat kepada aspek keadilan berdasarkan petunjuk sang Pencipta Allah SWT.



Penemuan-penemuan melalui kajian saintifik mampu memberi kesadaran kepada manusia yang dikurniakan akal fikiran yang waras untuk mengakui kewujudan kuasa Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Mencipta. Meneliti kepada penciptaan (sistem) manusia yang kompleks dan sangat teliti, dan melihat kepada kewujudan alam semesta yang variasi, saling berkait dan mengagumkan, adakah ia terjadi dengan sendirinya?

Proses penciptaan manusia
Proses pembentukan manusia bermula dengan percantuman antara benih lelaki dan benih wanita dan perkara ini ada dinyatakan oleh Yang Maha Mencipta melalui firmanNya;
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setetes mani yang bercampur yang Kami hendak menguji (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.” (Al-Insan: 2)

Manusia sering memikirkan untuk mencapai sesuatu bagi memenuhi kehendaknya atau untuk kepuasannya. Manusia sering lupa hakikat penciptaan mereka dan tujuan mereka diciptakan. Ada sebagian manusia yang menjadikan kesenangan hidup sebagai tujuan utama didunia. Dan ada pula sebagian yang hanya menumpukan pada senda gurau dan permainan yang sentiasa didorong oleh hawa nafsu.

Penciptaan manusia bukanlah sia-sia
Penciptaan manusia bukan suatu perkara yang main-main. Allah berfirman: “Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Qs. al-Mukminun: 115).

Sebaliknya Allah sedari awal telah mengingatkan kepada kita bahwa setiap perbuatan kita akan disoal dan dimintai pertanggunggungan jawab. “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Karena pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya.” (Qs. al-Isra’: 36)

Tujuan manusia diciptakan.
Hakikatnya tujuan penciptaan manusia adalah sebagai abdi atau hamba Allah dan khalifah (pengganti Allah, pemimpin, penguasa) di bumi. Allah berfirman:
“ Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.” (adz-Dzariyat: 56)

Gelar ‘hamba Allah’ merupakan pangkat yang diberikan oleh Allah SWT, tuan dan pemilik segala-galanya. Pangkat datuk, tuan, tan sri, prof, dr, sultan dan sebagainya hanyalah pangkat ciptaan manusia di dunia yang tidak kekal.

Seorang hamba perlu taat dan patuh kepada semua arahan tuannya, lebih-lebih lagi jika diberi dan dikurniakan dengan segala macam bantuan, kemudahan dan keamanan oleh tuannya. Oleh itu, kita mesti melakukan segala arahan dengan penuh pengertian bahwa kita menyerahkan segala-galanya kepada tuan kita (Allah SWT).
Kata kunci ‘penyerahan’ ini yang menjadi inti kepada Islam yaitu penyerahan secara keseluruhan terhadap Allah. Mereka yang dipandang oleh Allah dengan pangkat ‘hamba’ ini pasti memperoleh keuntungan di dunia dan di akhirat.

Tanggungjawab sebagai abdi merupakan suatu tanggungjawab individu yang hukumnya fardhu ain atau wajib. Ia meliputi kepada kemestian untuk memahami lapangan akidah dan tauhid, syariat dan akhlak.
Allah juga membebankan manusia dengan taklifan sebagai khalifah. Dari segi bahasa, khalifah bermaksud pengganti. Ia menjelaskan bahwa Allah mengamanahkan manusia sebagai ‘pengganti’ untuk mentadbir bumi dengan merujuk kepada manual dan panduan daripadaNya. Firman Allah SWT :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan-mu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadi orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikanMu?” Dia berfirman, “Sunggug Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. ” (al-Baqarah: 30 )
Tugas sebagai khalifah merupakan amanah yang sangat besar dan berat. Oleh karena itu perkara ini merupakan suatu tanggungjawab sosial atau fardhu kifayah yang perlu dilaksanakan bagi penjamin kehidupan yang harmoni, aman dan adil. Ia meliputi segala aspek kehidupan seperti cabang memberi peluang pendidikan, memastikan bidang pertanian dan penghasilan bahan makan yang halal lagi baik, menyediakan kemudahan kesehatan serta tempat kediaman yang baik.
Disamping itu, juga perlu ditekankan seperti keselamatan dengan bantuan pihak polisi, tentera dan badan sukarela di kalangan masyarakat. Bidang perundangan adalah sangat penting bagi menjamin keadilan dilaksanakan tanpa mengikut tafsiran sempit manusia yang berkepentingan sebaliknya perlu bersandarkan acuan daripada Tuhan pencipta manusia.
Maka tiada alasan bagi manusia untuk memisahkan agama dalam kehidupan ini. Setiap perkara dalam aspek kehidupan manusia perlu dikaitkan dengan agama dan kembali kepadaNya. Dengan memahami bahwa tujuan kita diciptakan mempunyai beban yang sangat besar, kita wajar berhati-hati dalam melakukan setiap perkara karena memikirkan balasan yang akan diberikan di akhirat kelak. Dalam hadits dijelaskan: “Setiap dari kamu merupakan pemimpin dan setiap dari kamu akan ditanya mengenai apa yang kamu pimpin.” (hadis riwayat Bukhari no. 893 dan Muslim no. 1829)


No comments:

Post a Comment